
KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated (KTC) Berhad melalui inisiatif Selembut Kasih akan menyumbangkan aneka roti bernilai setengah juta ringgit kepada semua 73 DUN di Sabah pada Ramadan ini.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Datuk Awang Kadin Tang disaksikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji memuji syarikat terbabit kerana menjalankan program Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) bagi membantu meringankan beban rakyat pada bulan puasa yang diselaraskan oleh UPPM Negeri.
Sementara itu Dexter berkata sumbangan makanan itu akan dihantar menerusi 50 trak KTC sendiri
“Kami memulakan inisiatif itu pada 2022 dan kami kembali lagi pada tahun ini. Ia tidak akan menjadi perkara sekali sahaja.
“Saya percaya ia akan memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat Islam Sabah pada bulan puasa akan datang. Ini cara saya mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah membantu saya mendapat keuntungan.
“Ia juga cara dan tanda saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana menyokong KTC tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Titingan, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan dan PPM 73 DUN masing-masing.





