“Jangan Jual Tanah, Aset Paling Berharga” – Dr. Joachim

“Jangan Jual Tanah, Aset Paling Berharga” – Dr. Joachim

0
SHARE
Dr. Joachim menyerahkan 205 geran Program Penyukatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) kepada penduduk Kampung Tambatuon pada Selasa (29 April 2025)...

KOTA BELUD, SABAH – Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, mengingatkan penduduk kampung agar tidak menjual tanah pusaka mereka, sebaliknya memelihara dan mengusahakannya sebagai aset berharga yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau menegaskan tanah adalah elemen yang sangat penting dalam kehidupan, terutamanya bagi komuniti Kadazan, Dusun, Murut, dan Rungus (KDMR).

Dr. Joachim berucap semasa menyerahkan 205 geran Program Penyukatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) kepada penduduk Kampung Tambatuon pada Selasa, berkata bahawa tanah sendiri adalah kekayaan yang tidak ternilai harganya dan penting untuk mempertahankan pemilikan tanah tersebut.

“Tiada yang lebih berharga daripada memiliki tanah sendiri. Saya berharap penduduk tidak menjual tanah ini, tetapi sebaliknya memanfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan keluarga dan komuniti,” katanya.

Majlis yang dihadiri oleh lebih 300 penduduk setempat ini juga menyaksikan penghargaan diberikan kepada Jabatan Tanah dan Ukur atas usaha mereka dalam menyelesaikan penyukatan tanah dan pemberian geran dengan teratur.

Dr. Joachim menegaskan bahawa pelaksanaan PANTAS hanya melibatkan tanah yang telah diusahakan tetapi belum memiliki geran dan tidak melibatkan kawasan yang sedang dalam pertikaian atau dimiliki oleh pihak lain.

“Proses PANTAS ini tidak boleh dijalankan jika terdapat sebarang pertikaian dalam sesuatu kawasan. Oleh itu, pemimpin peringkat kampung seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanah yang telah diusahakan oleh penduduk,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menyokong permohonan sah yang dikemukakan oleh rakyat, asalkan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Tanah dan Ukur bagi memastikan proses kelulusan dapat dipercepatkan.

“Ada pemohon yang terpaksa menunggu sehingga 10 tahun sebelum geran PANTAS diluluskan, jadi saya berharap penduduk membuat permohonan yang teratur dan lengkap supaya prosesnya dapat dipercepatkan,” jelas Dr. Joachim.

Dalam pada itu, beliau menggariskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat memiliki tanah sendiri melalui pelbagai inisiatif dan program yang sedang dijalankan.

Beliau juga menyeru penduduk kampung untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

“Pilihan anda akan menentukan masa depan, jadi pilihlah kerajaan yang benar-benar membantu rakyat. Siapa sahaja yang dicalonkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), itulah yang perlu kita sokong untuk memastikan pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.