Jelajah Ramadan Eratkan Ukhuwah Di Tawau, Nizam Santuni Komuniti Kg Titingan

Jelajah Ramadan Eratkan Ukhuwah Di Tawau, Nizam Santuni Komuniti Kg Titingan

0
SHARE

TAWAU: Program Jelajah Ramadan terus menjadi platform memperkukuh ukhuwah dan perpaduan masyarakat apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih di Masjid Babul Khair, Kampung Titingan, di sini, semalam.

Majlis tahunan itu bukan sahaja menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh keinsafan Ramadan, malah menjadi wadah pemimpin mendekati rakyat serta memahami keperluan komuniti secara langsung.

Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif berkata, pendekatan turun padang melalui program seperti Jelajah Ramadan amat penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan rakyat.

“Program ini bukan sekadar majlis berbuka puasa dan solat berjemaah, tetapi medan untuk kita mempererat ukhuwah serta memastikan suara dan keperluan rakyat terus diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam majlis tersebut, sumbangan turut disampaikan kepada Pusat KAFA Blok 5 sebagai usaha menyokong pembangunan pendidikan agama generasi muda di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyalurkan sumbangan khas Pengimarahan Masjid berjumlah RM6,000 bagi menampung kos utiliti.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, yang turut menyampaikan tazkirah Ramadan kepada para jemaah.

Majlis turut diserikan dengan bacaan tahlil malam kedua buat Allahyarham Mahamud Sakti bersama jemaah dan penduduk kampung.

Nizam turut mengajak masyarakat menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada Allahyarham serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Beliau menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan komuniti menerusi program yang mendekatkan kepimpinan dengan rakyat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.