Parti Perjuangan Rakyat Mahu Tanding Semua DUN di Sabah

Parti Perjuangan Rakyat Mahu Tanding Semua DUN di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti tempatan baharu, Perjuangan Rakyat, mengumumkan kesediaannya untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Presidennya, Datuk Saran Jumdail, berkata parti itu ditubuhkan dengan matlamat membawa suara rakyat Sabah ke peringkat tertinggi, berasaskan semangat perjuangan untuk memperkukuh ekonomi negeri, keselamatan rakyat, dan kedaulatan Sabah di bawah Perlembagaan Malaysia.

“Parti ini lahir daripada rakyat sendiri, bukan parti besar, bukan parti kaya, dan tidak ditaja oleh mana-mana pihak. 

“Kami berdiri atas kaki sendiri, berjuang dengan kekuatan rakyat,” tegasnya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Perjuangan Rakyat di Suria Inanam, Sabah, Ahad lalu.

Menurut beliau, kepimpinan parti terdiri daripada rakyat biasa, aktivis NGO, ahli korporat, usahawan dan anak muda yang telah lama bekerja bersama masyarakat akar umbi.

“Kami memahami masalah sebenar rakyat. Sabah ini kaya. Ada minyak, gas, tanah subur, hasil laut dan potensi pelancongan.

“Namun realitinya, rakyat masih miskin, kampung tiada jalan berturap, air bersih dan elektrik tidak menentu, peluang kerja pula amat terhad,” katanya.

Datuk Saran menjelaskan bahawa Perjuangan Rakyat bukan hanya berhasrat memenangi pilihan raya, tetapi mahu menyusun semula hala tuju Sabah melalui Pelan Pembangunan Sabah 20 Tahun, merangkumi aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negeri untuk memastikan kemajuan seimbang antara Sabah dan Semenanjung.

“Kami sudah ada pelan pembangunan jangka panjang. Visi kami jelas menjadikan Sabah negeri maju, berpendapatan tinggi, dan sejahtera tanpa mengabaikan hak rakyat luar bandar,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa semua calon yang akan diketengahkan oleh parti adalah wakil muda berjiwa rakyat, bukan calon sementara atau oportunis politik.

“Calon Perjuangan Rakyat adalah orang yang bekerja bersama masyarakat setiap masa, bukan hanya masa pilihan raya.

“Mereka faham perjuangan sebenar dan akan terus bersama rakyat selepas pilihan raya berakhir,” ujarnya.

Dalam sidang media itu juga, Datuk Saran menyeru agar rakyat menilai semula pemimpin sedia ada yang menurutnya terlalu lama memegang kuasa tetapi gagal membawa perubahan.

“Rakyat perlu berani berubah. Jika kita terus memilih pemimpin yang pentingkan diri, anak cucu kita nanti akan mempersalahkan kita kerana gagal mempertahankan hak mereka,” tegas beliau.

Sidang media tersebut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti serta penyokong dari seluruh daerah di Sabah, yang menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan parti tempatan itu.

“Perjuangan Rakyat adalah suara baharu, lahir dari rakyat untuk rakyat. Kami bersedia membawa perubahan sebenar untuk membina Sabah Baharu yang lebih makmur dan bermaruah,” katanya.