
KOTA KINABALU, SABAH – Tabung Haji (TH) memfokuskan tiga program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui zakat.
Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan TH, Ahmad Shahriman Johari berkata, penyaluran dana CSR Zakat ini adalah menggunakan 100 peratus duit zakat yang diperolehi daripada pendeposit TH dan dibayar terus kepada asnaf yang layak.
“Tiga program tersebut adalah program Ehsan (komuniti), Iqra (pendidikan) dan Afiat (kesihatan).
“Pada tahun lepas sahaja melalui program ini TH telah membantu lebih 500,000 orang asnaf di seluruh negara.
“Sebagai contoh program Iqra, TH telah menyalurkan hampir RM9 juta kepada semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara yang mana ia telah memberi manfaat kepada lebih 30,000 orang pelajar yang terpilih.
“Program Iqra ini memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang bertujuan bagi menyediakan bantuan kewangan dan keperluan kepada pelajar asnaf yang sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi seluruh negara,” katanya ketika berucap pada program TH Bersama Media Negeri Sabah 2023 di sini, pada Sabtu.
Menurut Ahmad Shahriman, program Ehsan memberi tumpuan kepada golongan asnaf seperti warga emas, ibu tunggal dan golongan kurang upaya bagi mengurangkan beban kewangan.
“Program Afiat pula adalah program CSR kesihatan yang bertujuan untuk membantu pesakit dan hospital atau penyedia perkhidmatan perubatan terpilih dalam menyediakan peralatan perubatan ,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, turut diadakan penyerahan cek cura CSR TH kepada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah bagi pelaksanaan ‘Program Jejak Masyarakat Keningau.fm’ berjumlah RM38,800, RM 40 ribu kepada Persatuan Tadika Islam Swasta Sabah (PERTIS) untuk ‘Program PERTIS Bersama Asnaf’ dan RM85,600 kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bagi ‘Program Sentuhan Kasih’.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said, Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah, Yusdi Nasip , Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad, Pengarah RTM Sabah, Salmah Hashim serta Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ