KOTA KINABALU: Isu ketidakpuasan hati segelintir ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berhubung campur tangan pimpinan pusat dalam penentuan calon dan jentera pilihan raya tidak menggambarkan keadaan sebenar parti, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh.
Beliau menegaskan, perkara itu hanya melibatkan beberapa individu dan telah pun diselesaikan selepas pertemuan dengan ketua-ketua cabang terlibat.
Menurutnya lagi, semua pihak kini kembali bersatu dan bersemangat untuk memastikan kemenangan PKR pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
“Kenyataan itu dibuat oleh satu dua orang sahaja, tidak melambangkan perasaan sebenar akar umbi. Selepas saya berjumpa dengan ketua cabang, mereka berpuas hati dan komited untuk memenangkan parti,” katanya kepada media.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengulas laporan media mengenai mesyuarat tertutup melibatkan 17 ketua dan timbalan ketua cabang PKR Sabah yang dikatakan tidak berpuas hati terhadap penglibatan pimpinan pusat dalam strategi kempen serta penentuan calon.
Antara nama yang dikaitkan dalam isu tersebut ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Ruji Ubi; serta bekas Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.
Fuziah menjelaskan bahawa PKR komited untuk memberi ruang kepada jentera tempatan di setiap cabang dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggerakkan kempen dengan cara tersusun dan berkesan.
“Kita mahu semua pihak fokus kepada tujuan utama iaitu memenangi kepercayaan rakyat Sabah dalam PRN akan datang. Semangat perpaduan dalam parti lebih penting daripada perbezaan pandangan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru ahli dan penyokong PKR agar mengekalkan kesatuan serta memberi keutamaan kepada agenda perjuangan rakyat menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah yang dijangka dalam masa terdekat.






