11 Penempatan Setinggan Berisiko Tinggi Boleh Berlaku Kebakaran di Kapayan

11 Penempatan Setinggan Berisiko Tinggi Boleh Berlaku Kebakaran di Kapayan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Penampang (MPP) Penampang merekodkan terdapat sebanyak 11 penempatan setinggan berisiko tinggi boleh berlaku kebakaran telah dikenal pasti di kawasan Kapayan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap berkata, penempatan ini terletak di lokasi seperti kawasan darat, tepi parit serta kawasan berbukit. 

“Kebanyakan penempatan ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, susun atur rumah yang rapat dan tidak terancang serta menggunakan bahan binaan yang mudah terbakar.

“Selain itu, terdapat kekangan dari segi akses laluan yang sempit dan terhad, yang boleh menjejaskan kelancaran operasi pasukan penyelamat dan bomba sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Chin Tek Min (Kapayan – Warisan) pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Jelas ADUN Bandau itu, pihak MPP telah mengambil langkah pemantauan berterusan serta mengeluarkan notis di bawah Undang-Undang Kecil berkaitan bangunan dan keselamatan.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat termasuk notis amaran; notis lanjutan; dan tindakan perundangan ke atas pemilik-pemilik tanah,” jelasnya.

Maijol turut menegaskan bahawa kementeriannya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan langkah pencegahan, kawalan dan pelaksanaan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi keselamatan penduduk serta mengurangkan risiko kejadian kebakaran di kasasan berkenaan.