KOTA KINABALU, SABAH – Jurucakap COVID-19 Kerajaan negeri, Datuk Masidi Manjun memaklumkan seramai 33,571 pesakit COVID-19 di negeri ini telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital setakat kelmarin (Sabtu).
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata 214 pesakit telah sembuh kelmarin berbanding 239 direkodkan sebelum ini.
“Sebanyak 1,553 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 567 di hospital dan 986 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah. Bilangan pesakit COVID-19 dalam unit rawatan rapi ialah 57 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Dalam pada masa yang sama, Masidi berkata 248 kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35,640 kes.
Beliau berkata 169 kes atau 68.1 peratus kes positif baharu direkodkan itu berpunca daripada saringan kontak rapat; saringan bergejala 37 kes (14.9 peratus); saringan kluster-kluster sedia ada 26 kes (10.5 peratus) dan 16 kes (6.5 peratus) lain-lain kategori.
“Tambunan kini bertukar daripada zon kuning kepada zon hijau sekali gus menyaksikan dua zon hijau direkodkan di Sabah termasuk Nabawan,” katanya dan menambah, kerajaan Sabah setakat ini telah mengagihkan 303,992 bakul makanan kepada golongan sasar di seluruh daerah.