Sunset Serenade Angkat Kesedaran Penjagaan Paliatif

Sunset Serenade Angkat Kesedaran Penjagaan Paliatif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Festival muzik teater pertama di Borneo bertemakan penjagaan paliatif, Sunset Serenade, berjaya menarik kira-kira 200 pengunjung di Anjung Selera, Tanjung Lipat pada Sabtu (22 Nov) lalu.

Program anjuran Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK) dan Society of Palliative Care Advocacy, Training & Education (SPATE) itu diadakan sempena Hari Hospis dan Penjagaan Paliatif Sedunia 2025 bagi memupuk perbincangan terbuka mengenai kehidupan, penyakit dan kematian.

Festival menampilkan empat pementasan teater asli berdasarkan kisah pesakit sebenar, diselitkan video temu bual dan persembahan muzik secara langsung.

Aktiviti interaktif seperti lukisan tangan serta upacara menyalakan lilin turut diadakan sebagai refleksi perjalanan pesakit.

Tema acara ini diinspirasikan karya Dr Ira Byock mengenai empat ungkapan penting dalam kehidupan dan perpisahan: “Saya sayang awak, terima kasih, saya maafkan awak, tolong maafkan saya, selamat tinggal.”

Acara itu turut dihadiri wakil Pengarah Kesihatan Negeri Dr Maegyver Pimid, Presiden PCAKK Dato Dr Jaswant Singh, Timbalan Pengarah Hospital Queen Elizabeth Dr Marcus Netto, dan Dekan ASTIF UMS Prof Madya Dr Zairul Anwar Md Dawam. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Hospis Malaysia Dr Ednin Hamzah serta wakil Hospis Tawau.

Penganjur merakamkan penghargaan kepada rakan kolaborasi utama termasuk ASTIF UMS dan Legato Music School.

Dr Ng Wan Jun, Pengerusi Penganjur, berkata seni mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan masyarakat kepada topik kompleks seperti akhir hayat serta menerima emosi yang hadir dalam perjalanan itu.