Program Jualan Keluarga Malaysia Catat Jualan Lebih Setengah Juta Ringgit Di Sabah

Program Jualan Keluarga Malaysia Catat Jualan Lebih Setengah Juta Ringgit Di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Lebih setengah juta ringgit dalam bentuk pembelian dicatat pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang telah dilaksanakan di 15 kawasan Parlimen Sabah pada 18 dan 19 Disember baru-baru ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran 55,137 orang pengguna dan pembelian bernilai RM514,846.35.

Kawasan-kawasan parlimen yang terlibat adalah Kudat, Tuaran, Ranau, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Keningau, Tenom, Libaran, Sandakan, Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan.

Pelaksanaan PJKM dikendalikan KPDNHEP dan diadakan sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

“Program ini juga merupakan kerjasama di antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan serta agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan Malaysia,” jelas Georgie.

Menurutnya, PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

“Antara barang-barang yang dijual semasa program ini adalah ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan yang telah diproses…

Pengguna sedang membeli barangan yang telah dikenakan diskaun dalam Program Jualan Keluarga Malaysia…

“PJKM diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah…

“KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan menyeru agar rakyat dapat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara,” katanya.

Georgie turut memberi jaminan bahawa Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) telah dilancarkan secara rasminya oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Disember 2021 di Lembai Pantai, Kuala Lumpur.

PJKM kini diperluaskan ke Sabah dan telah dilaksanakan di seluruh negeri di Malaysia bermula pada 4 Disember 2021.

Bagi negeri Sabah, PJKM telahpun dilaksanakan sebelum ini di Parlimen Putatan pada 4 Disember 2021 dan Parlimen Kota Marudu pada 12 Disember 2021.

Program berkenaan juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula 4 Disember ini merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di Malaysia.