Penglibatan Wanita Dalam Pengurusan Tertinggi Swasta masih Jauh Dari Sasaran Nasional

Penglibatan Wanita Dalam Pengurusan Tertinggi Swasta masih Jauh Dari Sasaran Nasional

0
SHARE
Datuk Hanafiah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi

KOTA KINABALU: Penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi bagi sektor swasta masih jauh dari sasaran nasional, iaitu 30 peratus.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanafiah Hajar taib berkata, penglibatan wanita di sektor awam adalah 38 peratus manakala swasta hampir 26 peratus.

“Berdasarkan dapatan kerja oleh Monach University pula, wanita mewakili 20 peratus daripada keseluruhan Industri Kecil Sederhana ((IKS) di Malaysia.

“Dalam bidang politik, Parlimen Malaysia pada masa ini hanya mempunyai sejumlah 41 orang Senator dan Ahli Dewan Rakyat atau pun 14.4 peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan IKS dan Kepimpinan Wanita bersempena Hari Wanita Sedunia 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.

Justeru itu, Hanafiah berkata sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga buruh wanita dan 30 peratus penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi swasta perlu dicapai sebelum tahun 2030 untuk mengoptimakan pertumbuhan ekonomi negara.

“Salah satu yang akan diambil oleh kerajaan adalah dengan menerokai ekonomi penjagaan atau ‘care economy’ untuk kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.

Tambah beliau lagi, inisiatif itu bukan sahaja akan meningkatkan kewujudan, penglibatan dan kualiti penjagaan kepada golongan khusus ini, malah sekali gus akan memberi lebih banyak ruang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam semua sektor ekonomi.