Pelajar SK Randagong, SK Luagan Ungguli Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah...

Pelajar SK Randagong, SK Luagan Ungguli Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah 2023

0
SHARE
Bintang kecil
Pelajar SK Randagong, SK Luagan Ungguli Pertandingan Akhir Bintang Kecil Zon Sabah 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Randagong, Ranau, Mohamad Alif Ikmal Danial Azawan dan Fateeha Nasleen Suhailin dari SK Luagan, Keningau muncul peserta terbaik Pertandingan Akhir Bintang Kecil Peringkat Zon Sabah 2023.

Danial, 12, memukau hati para juri menerusi persembahan lagu Terus Hidup nyanyian Aina Abdul dan lagu kedua bertajuk Kau dan Aku dendangan kumpulan Kool.

Sementara itu, Fateeha, 12 yang lebih mesra dengan panggilan Kiki mempertaruhkan lagu berjudul Cerita Sang Suria dari Exist dan lagu popular Fantasia Bulan Madu mengekalkan kecemerlangan apabila sekali lagi layak ke peringkat seterusnya.

Danial dan Fateeha akan ke peringkat BERAMBEH, iaitu Debaran Pertandingan Akhir Kebangsaan yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 3 September 2023.

Kedua-duanya menerima wang tunai berjumlah RM3,000, sijil penyertaan, trofi dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Digital, pada Sabtu.

Manakala empat finalis lagi iaitu Sham Badrin Embakri (Lahad Datu), Cherryn Jenson (Kota Marudu), Valley Dyana Yakob (Telupid) dan Nur Aisyah Adleene Anuar (W.P Labuan) masing-masing membawa pulang hadiah saguhati berjumlah RM500, sijil penyertaan, trofi dan hadiah iringan.

Pertandingan anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Seksyen Hiburan dan Muzik tersebut menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 158 bakat cilik seluruh negeri termasuk 25 orang yang telah menghantar video ujibakat secara dalam talian.

Turut hadir Pengarah RTM Salmah Hashim, Pengurus Besar Telekom Berhad negeri Sabah Datuk Sainal Mohd Amin, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Supian Musa dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Muddin Beting. — JABATAN PENERANGAN SABAH