6 Anggota MALBATT Cedera Terkena Serpihan Letupan Serangan Israel Di Lubnan

6 Anggota MALBATT Cedera Terkena Serpihan Letupan Serangan Israel Di Lubnan

0
SHARE
Malbatt
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggota MALBATT 850 cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan ( Sumber Foto: AFP )

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggota MALBATT 850 cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, jam 1.54 tengah hari semalam (7.54 malam waktu Malaysia).

Memetik sumber Berita Harian, dalam kejadian itu, lima anggota membabitkan MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota MALBATT 850-11.

Menurut kenyataan dikeluarkan ATM malam tadi, letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.

“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.

“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata kenyataan itu lagi.

Tentera Darat Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan kenderaan membawa anggota pengaman MALBATT yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) sedang melalui sekatan jalan.

“Tentera Israel mengebom sebuah kereta yang melalui Awali di Sidon. Serangan ini menyebabkan tiga warga Lubnan maut,” kata kenyataan itu.

Serangan itu turut disahkan UNIFIL dalam satu hantaran di X.

Semalam, pasukan MALBAT 850-12 berlepas ke Lubnan, bagi meneruskan misi pengaman di selatan negara itu meskipun berdepan cabaran susulan konflik yang melanda negara berkenaan.

Atur gerak pasukan itu membabitkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai awam dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam sehingga 18 November.

Pergerakan penerbangan akan menggunakan pesawat Batik Air membabitkan penghantaran kontinjen itu dan membawa pulang kontinjen MALBATT 850-11 yang sudah berkhidmat selama 12 bulan di Lubnan.

Pertukaran itu berdasarkan kepada ketetapan Force Commander (FC) UINIFIL.