KOTA KINABALU: Tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 merupakan isyarat politik jelas bahawa mereka meletakkan keyakinan tinggi terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dan keupayaan GRS menerajui Sabah.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah berkata, keputusan lima ADUN Liawan, Tulid, Sook, Bingkor dan Paginatan itu bukan sahaja langkah berani, tetapi berpaksikan kepada rekod kepimpinan dan pentadbiran cemerlang yang ditunjukkan GRS sepanjang lima tahun mentadbir negeri.
Menurutnya, kelima-lima ADUN tersebut mempunyai latar belakang kepimpinan yang kuat serta rekod khidmat yang diyakini rakyat di kawasan masing-masing.
“Sokongan mereka terhadap GRS mencerminkan kepercayaan terhadap dasar kepimpinan inklusif Hajiji yang berjaya menjamin kestabilan politik serta mendorong pembangunan berterusan di seluruh Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Aksyah menegaskan, keputusan ini perlu dilihat dalam konteks kematangan politik rakyat Sabah menjelang PRN-17, yang bakal menjadi medan penting menentukan hala tuju kepimpinan negeri.
“Dalam hal ini, GRS bukan sekadar sebuah gabungan politik, sebaliknya satu benteng solidariti rakyat Sabah yang berpaksikan semangat “Rumah Kita, Kita Jaga” dan “Sabah First”,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa selama lima tahun mentadbir, GRS telah membuktikan keupayaan membawa manfaat nyata kepada rakyat, antaranya melalui hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan Plus (PH-Plus).
Hubungan ini telah menghasilkan pelbagai kemajuan, termasuk kemajuan signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sesuatu yang menurutnya tidak pernah berlaku dengan begitu serius sebelum ini.
Aksyah menambah, kekuatan solidariti politik tempatan yang digerakkan GRS di bawah kepimpinan Hajiji telah membina keyakinan bukan sahaja di peringkat negeri, malah turut diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan.
Justeru, tindakan lima ADUN STAR itu dilihat selaras dengan arus politik semasa yang memerlukan kestabilan dan kepimpinan tempatan yang kukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri terus dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau turut mendoakan kejayaan STAR dan SAPP yang berhasrat bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam PRN-17, sambil menyatakan keyakinan bahawa GRS berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pertembungan dengan bekas rakan sekutu politik.






