KOTA KINABALU: Kejohanan Bola Sepak sembilan sebelah anjuran Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau telah mencapai objektif apabila berjaya mengumpul sebanyak 32 pasukan bola sepak dari seluruh kawasan Darau dan juga Karambunai.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Darau, merangkap Pengerusi Penganjur, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, ini merupakan satu pencapaian yang cukup menggalakkan penyertaannya daripada komuniti bola sepak di kawasan itu.
“Sebenarnya, yang lagi memberangsangkan di sini ialah, di mana rata-rata pemain yang bermain pada kejohanan kali ini boleh dikatakan majoriti orang baru, muda dan sangat minat dengan bola sepak ini, itu yang kita sangat banggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Penutupan Kejohanan Bola Sepak sembilan sebelah di sini, pada Ahad.

Tambah Abqaree lagi, kejohanan ini akan diteruskan pada masa akan datang dan akan memastikan edisi ini akan diadakan setiap tahun.
“Kita akan meneruskan kejohanan ini, sebab itu hari ini pemenang utamanya memperoleh wang tunai RM2,000, Piala Iringan, Piala Pusingan dan medal sebab kita akan menganjurkan sekali lagi kejohanan ini dan pastikan edisi ini akan diadakan setiap tahun lepas ini.
“Selain itu, seperti yang sudah dibincangkan di peringkat Pemuda, kita akan mengadakan banyak lagi inisiatif untuk menyantuni anak-anak muda di kawasan ini dan terdekat ini kita akan adakan Idola Darau seterusnya program-program pendidikan, sukan dan sebagainya,” tambahnya.
Untuk rekod, kejohanan kali ini berjaya dimenangi oleh pasukan bola sepak Black Boy FT, diikuti tempat kedua pasukan Karambunai A yang membawa wang tunai berjumlah RM1,000 berserta medal.
Manakala tempat ketiga dimenangi bersama pasukan Quantum Kicker dan Bos Bundle yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 beserta medal.
Majlis penyampaian hadiah pada kejohanan kali ini telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau Datuk Razali Razi.






