Pelantikan Anak Watan Sabah Sebagai PJP Sejajar Dengan Dasar Borneonisasi

Pelantikan Anak Watan Sabah Sebagai PJP Sejajar Dengan Dasar Borneonisasi

0
SHARE
PBS
Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS, Christoper Mandut ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

KOTA KINABALU, SABAH – Cadangan mengenai anak watan Sabah untuk menggalas jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah turut disambut positif Exco Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS, Christoper Mandut, berkata, perkara itu perlu diberi perhatian, dengan mengambil kira bahawa pegawai kanan polis dalam kalangan orang yang berasal dari Sabah sendiri lebih faham mengenai situasi, trend jenayah dan isu di tempat asal mereka berbanding yang berasal dari negeri lain.

Beliau berkata demikian bagi menyokong cadangan dan saranan memilih Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu bagi menggantikan PJP Sabah yang bakal bersara bulan ini.

Beliau berpendapat bahawa, terdapat pegawai kanan dari Sabah yang dilihat amat berpotensi dan mempunyai kredibiliti untuk memegang peranan ini bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan polis di Sabah.

Tambahnya, pelantikan anak watan Sabah memegang jawatan tinggi di negeri sendiri juga sejajar dengan perjuangan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika beliau memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) untuk melaksanakan dasar Borneonisasi, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Christoper turut memetik kenyataan Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto, baharu-baharu ini, yang menyatakan bahawa sensitiviti kaum dan agama di Sabah juga lebih mudah dijiwai oleh orang asal Sabah kerana mereka terdedah dengan perkara tersebut sejak awal.

“Kita bukanlah bermaksud mencampuri urusan dalaman PDRM tetapi demi memperkasakan semangat MA63, tidak ada sebab mengapa anak Sabah tidak boleh dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah di negeri asal mereka.

“Ia seolah-olah memberi gambaran kurang sihat anak Sabah tidak mampu mengalas jawatan penting tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini

Zaki juga dipetik sebagai berkata, buat masa ini, terdapat dua anak Sabah di dalam PDRM yang memakai pangkat DCP iaitu Datuk Mazli Mazlan, Timbalan Pengarah (Operasi), JPJKK Bukit Aman dan Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Mengambil kira pangkat kedua-dua pemimpin itu, Christoper berpendapat, mereka juga boleh dinaikkan pangkat sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

“Dari sudut kekananan Datuk Mazli Mazlan di pangkat DCP pula, kita amat peka dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau, yang mana sebelum ini pernah bertugas di pelbagai jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita amat yakin beliau tentu mampu menggalas tugas dengan baik jika diberi peluang.

“Malah sebelum ditugaskan ke Bukit Aman, beliau telah membuktikan keberkesanan tugas sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya.

Terdahulu, Christoper turut memuji komitmen Pesuruhjaya Polis Sabah ketika ini, yang telah menjalankan tugas penuh cemerlang dalam mempastikan ketenteraman awam seluruh negeri Sabah sentiasa terjamin sepanjang perkhidmatannya.