Turki Luluskan Penggunaan Vaksin COVID-19 Turkovac

Turki Luluskan Penggunaan Vaksin COVID-19 Turkovac

0
SHARE

ISTANBUL, TURKI – Vaksin COVID-19 pertama dibangunkan Turki iaitu Turkovac telah diluluskan bagi tujuan penggunaan kecemasan di negara itu, demikian menurut Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam satu kenyataan semalam.

Turkovac memasuki ujian Fasa III membabitkan 40,800 peserta di Turki Jun lalu, namun tiada data rasmi mengenai keberkesanannya dikeluarkan.

Memetik laporan AFP, Ahli Lembaga Penasihat COVID-19 Kementerian Kesihatan, Ates Kara bagaimanapun pada minggu lalu memberitahu media Turki bahawa ia ‘sangat berjaya’ dan mungkin ‘lebih baik berbanding vaksin tidak aktif lain’.

“Tiada individu divaksin dengan Turkovac mengalami jangkitan teruk COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital atau rawatan rapi setakat ini,” katanya.

Pengusahanya berkata vaksin Turkovac yang berfungsi mengikut prinsip saintifik sama seperti CoronaVac China, digunakan Turki sejak awal tahun ini.

Turki secara rasmi merekodkan 9.2 juta kes jangkitan dan 80,000 kematian COVID-19.

Menjadi tuan rumah sidang kemuncak utama pemimpin Afrika, Erdogan hujung minggu lalu berjanji menghantar 15 juta dos vaksin ke negara di benua termiskin di dunia itu.

“Kami berbesar hati untuk berkongsi vaksin ini dengan semua pihak,” katanya dalam ucapan di televisyen hari ini.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca, berkata Turkovac ‘akan digunakan secara meluas’ di Turki mulai minggu depan.

Negara dengan penduduk seramai 84 juta itu sudah memberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin kepada 56.7 juta orang.

Lebih 51 juta sudah menerima dua dos dan 15 juta lagi menerima suntikan penggalak.

Turki sebahagian besarnya mengelak sekatan pergerakan, mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di luar rumah dan semua premis awam serta menggunakan sistem pas kesihatan berasaskan aplikasi bagi pengangkutan awam.