Pembinaan, Naik Taraf Jambatan Gantung Berdasarkan Permohonan Kerajaan Negeri Kepada KKDW

Pembinaan, Naik Taraf Jambatan Gantung Berdasarkan Permohonan Kerajaan Negeri Kepada KKDW

0
SHARE
Madius
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Parlimen Tuaran )

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mempunyai dua program melibatkan pembinaan baharu dan menaik taraf jambatan termasuk jambatan gantung kepada jambatan kekal.

Ahli Parlimen, Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, pembinaan dan penaiktarafan tersebut adalah melalui program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB).

“Walau bagaimanapun, KKDW memaklumkan, kelulusan bagi pelaksanaan projek di bawah kedua-dua program ini adalah berdasarkan kepada permohonan yang dikemukakan kerajaan negeri melalui kementerian tersebut sebelum diangkat kepada Kementerian Ekonomi.

“Melalui program Jalan dan Jambatan Luar Bandar, sekurang-kurangnya terdapat 136 projek jambatan telah diluluskan pada tahun 2024 untuk dibina dan dinaiktaraf di negeri Sabah.

“Di Parlimen Tuaran sahaja, terdapat tujuh projek jalan dan jambatan luar bandar telah diluluskan pada tahun 2024 dengan kos keseluruhan berjumlah RM210.15 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Terdahulu, Madius dalam Soalan Lisan sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat pada Isnin meminta KKDW menyatakan jumlah jambatan gantung di seluruh negara mengikut negeri, dan cadangan kementerian menaik taraf jambatan-jambatan gantung usang dan merbahaya yang menjadi laluan utama murid-murid ke sekolah-sekolah khususnya di pedalaman Sabah.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, KKDW dalam satu jawapan bertulis pagi ini memaklumkan bahawa kementerian tersebut tidak mempunyai data yang tepat untuk jumlah keseluruhan jambatan gantung di seluruh negara.

“Infrastruktur jambatan atau lintasan (crossing) sungai termasuk jambatan gantung di kawasan pedalaman Sabah seperti juga di negeri-negeri lain adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri iaitu sama ada di bawah kawalan Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan ataupun Jabatan Kerja Raya.

“Walau bagaimanapun, kementerian ini menyedari bahawa perlunya Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, sentiasa peka dan mengambil tindakan drastik supaya isu jambatan uzur, usang dan sempit di kawasan desa dapat segera ditangani,” jelasnya.

Sehubungan itu Madius memaklumkan KKDW meminta kerjasama semua pihak di peringkat negeri Sabah agar dapat memastikan mana-mana jambatan gantung yang kritikal untuk dinaik taraf sebagai jambatan konkrit dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah untuk dimohon kepada kementerian berkenaan.

“Seterusnya permohonan ini akan diangkat ke Kementerian Ekonomi untuk kelulusan pada jendela permohonan Rolling Plan (RP) setiap tahun.

“Ini bagi memastikan tiada projek-projek jambatan yang kritikal dan berkeperluan mendesak terlepas daripada permohonan KKDW kepada Kementerian Ekonomi pada masa akan datang,” katanya.