PENAMPANG, SABAH – Bahagian Siasatan Narkotik Daerah Penampang berjaya menahan seorang pengedar dadah dengan rampasan sintetik bernilai sekurang-kurangnya RM2,500 di Beverly Hills, Jalan Bundusan, sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata serbuk Ekstatsi seberat 126.41 gram dan pil Erimin 5 seberat 5.05 gram dirampas dalam operasi pada sebelah malam itu.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang berumur 35 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine.
“Turut disita sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM45,000 untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Katanya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama manakala tempoh reman suspek sehingga Jumaat (15 Mac).