PETRONAS Keluarkan Amaran Pelaburan Palsu Guna Nama CEO, Syarikat

PETRONAS Keluarkan Amaran Pelaburan Palsu Guna Nama CEO, Syarikat

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengambil maklum mengenai penyalahgunaan yang terus tersebar menggunakan nama dan logo syarikat serta nama dan juga imej Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.

Memetik sumber Bernama, dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Petronas, berkata kebanyakan penyebaran tersebut membabitkan penyalahgunaan perisian kecerdasan buatan (AI) dengan mengubah dan memanipulasi imej serta suara eksekutif tertinggi PETRONAS.

“Penyalahgunaan imej ini juga dilakukan menerusi akaun palsu pada aplikasi pemesejan dengan kandungan yang tidak benar.

“Imej yang dimanipulasi tersebut tersebar di internet terutamanya di platform media sosial dan aplikasi pemesejan dengan menyampaikan mesej memanipulasi orang ramai untuk menyertai skim pelaburan palsu, ” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, laporan berkaitan penyalahgunaan ini sedang dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Petronas menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan dapatkan maklumat sahih di saluran komunikasi rasmi Petronas.