PENAMPANG, SABAH – Polis sedang giat menyiasat kes pecah masuk sebuah kedai muzik di Bangunan Towering, Jalan Penampang yang berlaku sekitar pukul 10 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya hari ini telah menerima laporan oleh pekerja kedai tersebut.
“Pengadu membuat laporan setelah menyedari cermin hadapan kedai pecah serta beberapa alatan muzik turut hilang disyaki telah dicuri…
“Siasatan awal mendapati, cermin hadapan kedai tersebut telah dipecahkan dipercayai menggunakan objek tumpul dan usaha bagi mengesan suspek sedang giat dijalankan.
“Jumlah kerugian adalah sebanyak RM4,000. Antara barangan yang hilang berupa dua (2) unit gitar serta satu (1) ‘stand gitar’ yang dipamerkan di bahagian hadapan premis,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Kertas siasatan bagi kes berkenaan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.