Penunggang Mototosikal Termakan Jalan Maut Bertembung Saga FLX

Penunggang Mototosikal Termakan Jalan Maut Bertembung Saga FLX

0
SHARE
Kemalangan
Pasukan Bomba membersihkan serpihan kemalangan di lokasi kejadian ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

TAWAU, SABAH – Akibat masuk ke lorong bertentangan, seorang penunggang motosikal hilang nyawa di Kilometer 11, Jalan Semporna – Tawau selepas bertembung dengan sebuah kenderaan Proton Saga FLX pada Rabu.

Mangsa lelaki berusia 27 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Semporna di lokasi dalam kejadian 11.50 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Proton Saga FLX dalam perjalanan dari pekan Semporna menuju ke Kampung Sungai Nasip Lihak- Lihak.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, dengan tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang berada di laluan bertentangan dari Kampung Sungai Nasip menuju ke pekan Semporna.

“Motosikal dipercayai termakan jalan dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Saga,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Mohd Farhan berkata pemandu Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.

Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.