Kerajaan Ambil Langkah Import Bekalan Telur Tampung Keperluan Pasaran Tempatan

Kerajaan Ambil Langkah Import Bekalan Telur Tampung Keperluan Pasaran Tempatan

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera bagi menampung keperluan pasaran tempatan pada harga lebih rendah.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata ia antara langkah jangka pendek yang diambil oleh pihaknya disamping memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar, bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga…

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula selepas bekalan tempatan kembali stabil. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Sabu…

Dalam pada itu, Mohamad turut berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya juga telah diarah menilai kesan import terhadap industri telur ayam tempatan.

Selain itu, Agrobank juga bakal mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil agar kekal berdaya saing dalam industri ini.

“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif…

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan telur ayam dalam pasaran tempatan, Mohamad menjelaskN telur ayam adalah makanan harian berprotein popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan kadar purata pengambilan 968 juta biji telur ayam sebulan.