KUALA LUMPUR – Kaedah ‘scammer’ semakin licik dengan taktik terbaharu menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Akibat itu, serang wanita secara perlahan mengalami kerugian lebih RM7.74 juta selepas terpedaya dengan sindiket Macau scam sejak 18 Mei lalu.
Menurut laporan Berita Harian, ejen hartanah terbabit hanya melaporkan hal itu kepada pihak polis apabila menyedari dirinya mangsa penipuan pada tengah hari semalam (Isnin).
Memetik sumber, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai Bahagian Khidmat Pelanggan KKM Cawangan Putrajaya.
“Suspek menyatakan bahawa terdapat 52 dos Vaksin Sinovac dimohon atas nama mangsa secara tidak sah dan satu tindakan siasatan sedang dijalankan oleh pihak KKM…
“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang yang konnonya pegawai ‘polis’ yang memaklumkan bahawa terdapat waran tangkap atas nama mangsa kerana terbabit aktiviti pengubahan wang haram.
“Mangsa dinasihatkan supaya membuka tujuh akaun bank baharu dan menyerahkan kesemua maklumat akaun itu kepada suspek.
“Suspek turut mengarahkan mangsa membuat transaksi pemindahan wang simpanannya berjumlah RM7,739,356 ke dalam tujuh akaun berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudiannya membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan dimaklumkan bahawa terdapat transaksi pengeluaran dari tujuh akaun itu.
Amihizam menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon individu yang tidak dikenali dan pastikan membuat semakan dengan agensi berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi pemindahan wang.
“Jangan mendedahkan data peribadi serta membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
“Orang ramai juga boleh membuat laporan ke CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan,” katanya sambil menambah disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





