Hampir RM50 Juta Jualan Dan Prospek Perniagaan Direkodkan Sempena HKN Di Sabah

Hampir RM50 Juta Jualan Dan Prospek Perniagaan Direkodkan Sempena HKN Di Sabah

0
SHARE
Ewon
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) yang berlangsung selama tiga hari di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu berjaya mencatatkan jualan dan prospek perniagaan sejumlah RM48,370.833.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu RM46.9 juta adalah prospek perniagaan melalui 44 sesi padanan perniagaan.

“Manakala jualan koperasi atau usahawan yang menyertai pameran sepanjang tiga hari HKN berjumlah RM1,215,090.00, Jualan Madani sebanyak RM154,284.00 dan jualan food truck berjumlah RM101,459.00. Keseluruhan jumlah jualan tunai RM1,470,832.

“Dari segi kehadiran pengunjung pula, seramai 10,069 orang mengunjungi sambutan itu selama tiga hari iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Sebanyak 219 reruai oleh agensi kerajaan, swasta, usahawan dan koperasi terlibat dalam karnival jualan dan gerai pameran.

Pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan diadakan antaranya Pocket Talk, khidmat nasihat perniagaan, bicara niaga inklusif dan kuiz keusahawanan.

Selain itu, aktiviti-aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung seperti persembahan artis, Coop Explorace, Voice of Coop, Zumba, Pertandingan Video Kreatif dan Bicara Perdana “Koperasi, Menjejak Berkah Menggarap Hikmat” dan Malam Kerohanian: Persembahan Nasyid dan Tarian Kebudayaan.”

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Pada tahun ini, Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran HKN 2023.

Tema BKK’23 adalah “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi”. Menghayati dan melaksanakan enam teras yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani, KUSKOP yakin ia dapat mengangkat darjat gerakan koperasi ke tahap yang lebih maju dan makmur.

Sambutan BKK ini merupakan manifestasi apresiasi dan pengiktirafan Kerajaan kepada gerakan koperasi negara yang telah banyak menyumbang dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Madani di negara ini.

Pemilihan bulan Julai sebagai acara Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan bukan sahaja menyorot sejarah pendaftaran koperasi pertama di negara ini, malah ianya selaras dengan pengisytiharan hari Sabtu Minggu Pertama Bulan Julai Setiap Tahun sebagai Hari Koperasi Antarabangsa (International Day of Co-operatives) oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance, ICA). Pada tahun ini, Hari Koperasi Antarabangsa telah disambut pada 1 Julai 2023.

Sepanjang penganjuran tiga hari HKN’23, masyarakat setempat telah mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran anggota koperasi seluruh negara seperti industri perhotelan, pelancongan dan pengangkutan.

Selain itu, gerakan koperasi seluruh negara berjaya meningkatkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak menceburi pelbagai aktiviti perniagaan dan meningkatkan pendapatan koperasi.

Majlis penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK’23) pada 30 Julai ini dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.