KEDAH – Tuan Guru Dato’ Haji Ahmad Haji Muhammad Nor atau lebih dikenali dengan ‘Pak Teh Mad’ telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 12.57 pagi ini, 15 Sept 2021.
Perkara dukacita ini telah disahkan oleh pihak Pengurusan Pondok Ahmadiah Pak Teh Mad.
Pak Teh Mad meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 dan dijangka akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Masjid Padang Gelanggang untuk di kebumikan mengikut SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut pihak pengurusan Pondok Ahmadiah Pak Teh Mad, orang ramai tidak dibenarkan hadir menziarahi jenazah, sebaliknya boleh melakukan solat jenazah ghaib selepas sahaja pengkebumian selesai.
Pihak pondok akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa.
Tuan Guru Pak Teh Mad merupakan Ulama tertua di Malaysia, berusia 96 tahun yang dilahirkan pada 14 Mac 1925 di Kampung Bukit Sebelah, Kariah Padang Gelenggang, Padang Terap, Kedah.
Berikut adalah biodata Al Marhum Tuan Guru Pak Teh Mad;
Nama: Haji Ahmad bin Haji Muhammad Nor (Pak Teh Mad)
Kelahiran:
Beliau dilahirkan pada malam Jumaat 14 Syaaban 1328 bersamaan dengan 14 Mac 1925 di Kampung Bukit Sebelah, Kariah Padang Gelenggang, Padang Terap, Kedah.
Pendidikan:
– Sekolah Kebangsaan Padang Terap ( 1931 – 1935 )
– Pondok Merbok, Bedong Kedah (sehingga tahun 1940): Pondok Tuan Guru Mursyid di Raja Haji Abdurrahman bin Haji Abdullah (Tuan Guru Haji Abdurrahman Merbok) .
– Pondok Mogoi (sehingga tahun 1943) : Pondok Tuan Guru Haji Saad bin Lebai Awang
– Pondok Gajah Mati, Pendang (sehingga tahun 1947)
Beliau berguru kepada Tuan Guru Pak Chu Him dan Tuan Guru Sheikh Abdul Qadir Al Mandili, Makkah al-Mukarramah (bermukim di Mekah selama 10 tahun).
Di antara guru-guru beliau di Makmah ialah:
● Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir Al Fathani ( Pak Da Eil : pengarang Kitab Bakurah Al Amani ).
● Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al Mandili.
● Sheikh Daud Kelantan.
● Syeikh Afnan Al Jawi
● Syeikh Sulaiman Al Jawi,
● Syeikh Zakaria Bila
● Syeikh Hassan Al Masyath
● Sayyid Alawi al-Maliki dan lain-lain lagi.
Rumahtangga:
Pak Teh Mad mendirikan rumahtangga dengan anak gurunya sendiri Pak Chu Him iaitu Hajah Wan Solehah Binti Haji Wan Ibrahim Al-Fattani (Pak Chu Him).
Pernikahannya diakadkan sendiri oleh Tuan Guru Pak Da Eil di Mekah.
Kembali ke tanah air:
Pada awal tahun 60-an, Pak Teh kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah Pondok Ahmadiah, Padang Nyior, Padang Terap, Kedah di atas tanah seluas 8 relung.
Pondok beliau berkembang maju hingga terdapat 180 buah pondok (30 pondok pelajar putera, 40 pondok pelajar puteri dan 90 pondok warga emas).