PASSEX Perkukuh Kerjasama Dua Hala TLDM Dan Tentera Laut Diraja Australia

PASSEX Perkukuh Kerjasama Dua Hala TLDM Dan Tentera Laut Diraja Australia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui KD PERAK dan KD KEDAH telah menyertai Passage Exercise (PASSEX) bersama kapal Tentera Laut Diraja Australia (TLDA), HMAS SIRIUS di sekitar Perairan Kota Kinabalu pagi tadi.

PASSEX merupakan salah satu inisiatif yang sering dilaksanakan bertujuan memperkukuh hubungan diplomasi antara TLDM dan tentera laut serantau.

Melalui pelaksanaan eksesais ini juga, warga Navy People turut berpeluang menguji kemahiran serta kebolehupayaan operasi bersama walaupun dalam situasi pandemik yang melanda dunia sekarang.

HMAS SIRIUS iaitu kapal bantuan logistik yang telah berkhidmat hampir 15 tahun bersama TLDA ini mampu melaksanakan siri Replenishment At Sea bersama dua kapal dalam satu tempoh masa yang sama tanpa mengira waktu serta mempunyai dek helikopter bagi pelaksanaan sebarang operasi.

Kapal ini juga sedang melaksanakan misi pelayaran terakhir melalui Perairan Sabah dan akan kembali ke Pangkalan TLDA bagi penamatan perkhidmatan serta pelucutan tauliahnya secara rasmi pada bulan Disember nanti.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Timur Sabah dalam sebuah kenyataan berkata selain pelaksanaan evolusi RAS, KD PERAK dan KD KEDAH turut berpeluang melaksanakan siri evolusi manuver taktikal dan membentuk formasi di laut sebelum meneruskan pelayaran masing-masing.

“Secara keseluruhan, eksesais ini telah mencapai objektifnya serta menguji kemampuan aset TLDM dalam melaksanakan operasi bersama aset negara lain…

“Setiap evolusi yang berjaya dilaksanakan telah membuktikan komitmen, profesionalisme dan kesediaan kedua warga Angkatan Laut ini,” katanya.