Bung Setuju DUN Negeri Sabah Bersidang Semula

Bung Setuju DUN Negeri Sabah Bersidang Semula

0
SHARE
Dato' Sri Bung Moktar Radin...

KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Dato’ Sri Bung Moktar Radin bersetuju agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka semula bagi mengadakan persidangan sejajar dengan titah Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayattuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan membuka sidang Parlimen di peringkat Persekutuan.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, beliau yakin perkara ini dalam perhatian serta pertimbangan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor bagi mengadakan persidangan DUN dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, Kerajaan GRS sentiasa mengalu-alukan pandangan kerajaan dan pembangkang dalam mendepani cabaran COVID-19 dan isu rakyat termasuklah soal pembangunan, ekonomi dan kesejehteraan rakyat yang terjejas ekoran penularan virus di negeri Sabah.

“Saya bersetuju agar sidang DUN Sabah diadakan bagi memberikan peluang dan ruang kepada ahli-ahli yang berhormat berbincang dan membahaskan pelbagai isu terutamanya berkaitan usaha untuk menangani pandemik ini bagaimanapun ianya perlu dilaksana dengan pematuhan Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika di hubungi di sini.

Beliau mengulas kenyataan media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Luyang Phoong Jin Zhe yang meminta kerajaan Negeri untuk mengadakan persidangan DUN Sabah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lamag itu, Kerajaan GRS merupakan kerajaan yang cukup bertoleransi dan bersedia menerima pandangan dari semua pihak termasuk pembangkang.

“Persidangan ini penting memandangkan negara termasuk Sabah berhadapan situasi yang mencabar berkaitan pandemik COVID-19 serta masalah ekonomi yang terjejas,” katanya.

Bung berkata sudah tentu persidangan DUN nanti akan memberikan peluang kepada semua wakil rakyat membahaskan isu berkaitan kepentingan rakyat dengan mengenapikan idelologi politik bagi mencari jalan keluar dari krisis yang dihadapi rakyat ketika ini.

Untuk rekod, persidangan terakhir DUN Sabah pada bulan Disember tahun lepas.