KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Tabung Zakat dan Fitrah menyediakan bantuan kepada golongan asnaf yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan petugas terlibat berjumlah RM2 juta.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif berkata sumbangan tersebut akan diagihkan dalam bentuk bakul makanan dan duit secara ‘one-off’.
“Golongan fakir miskin yang berdaftar dengan MUIS akan dikenal pasti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah dan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEANIS) daerah masing-masing…
“MUIS telah menyediakan peruntukan khas RM 300,000 untuk 4000 ketua isi rumah seluruh Sabah melalui program Ibadah Mesra,” katanya bila ditemui media.
Melalui program yang sama, kata Arifin, waris keluarga beragama Islam yang telah meninggal disebabkan COVID-19 juga layak menerima bantuan ‘one-off’ RM1,000 daripada sumbangan keseluruhan bernilai RM100,000.
“Ahli keluarga boleh merujuk kepada pejabat Jakim di daerah masing-masing selepas mendapat pengesahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia…
“Tuntutan ini boleh juga terus diekemukakan kepada Pejabat Zakat dan Fitrah MUIS di sini,” tambah beliau.
Sebelum ini, MUIS turut menyediakan bantuan bulanan berjumlah RM200 hingga RM250 kepada 9,800 golongan asnaf di seluruh negeri.
“Kini tambahan bantuan sebanyak RM 150 juga diberikan kepada mereka,” kata Arifin yang memperincikan jumlah keseluruhan bernilai RM1.47 juta.
Mereka yang bertugas dalam program mesra ibadah khususnya kakitangan dan pegawai yang terlibat dalam proses penyelenggaraan jenazah juga mendapat bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 seorang. Peruntukan tersebut secara keseluruhan berjumlah RM 140,000.