KOTA KINABALU, SABAH – Polis akan menyiasat kedua-dua pihak sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung “Wawa”, seorang wanita yang menjadi terkenal selepas menengking anggota polis trafik bertugas pada satu Sekatan Jalan Raya (SJR) berhampiran Kepayan di sini.
Rakaman video berdurasi 1 minit 28 saat yang tular kelmarin itu menyaksikan wanita tersebut “mengajar” polis untuk tidak berkelakuan “egois apabila bercakap dengan seorang wanita”.
Video itu dipercayai dirakam pada 1 Jun lalu, tetapi baru sahaja mula muncul dan tular di laman media sosial Facebook.

Wanita tersebut mendakwa dirinya telah ditahan selama 30 minit sebelum diberitahu kesalahannya iaitu tamat tempoh cukai jalan (road tax) dan insurans kereta.
Juga timbul dakwaan kononnya wanita terbabit naik marah selepas disindir anggota polis trafik berkenaan.
Seakan dalam sebuah filem drama, beliau menggelar dirinya sebagai “Wawa Wahid Enterprise” sebelum mengundur diri dan rakaman ditamatkan.
Meskipun akur dengan kesalahannya yang terbabit, wanita itu juga bertanya bagaimana dia hendak memperbaharui kedua-dua dokumen tersebut sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di mana kebanyakkan agensi kerajaan ditutup.
Dalam video itu, Wawa juga mendakwa dia sedang dalam perjalanan menghantar bantuan makanan kepada keluarga yang terjejas akibat pandemik.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata Timbalan Pendakwa Raya telah menasihatkan polis supaya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana berunsurkan ugutan.

“Pihak polis akan memanggil wanita terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan…
“Polis akan mengambil tindakan terhadap anggota sendiri sekiranya terbukti benar kenyataan meyinggung perasaan dikeluarkan semasa wanita itu ditahan.
“Dan sebaliknya, tindakan juga akan diambil jika terbukti wanita itulah menjadi punca ketegangan,” katanya bila dihubungi.
Hazani juga memaklumkan cukai jalan kenderaan “Wawa Wahid Enterprise” telah tamat sejak awal tahun ini
“Alasan itu tidak boleh diterima kerana penguatkuasaan PKP pernah dihentikan dua kali sebelum ini…
“Sekalipun cukai tidak boleh diperbaharui, mengapa insurans kenderaan tidak diperbaharui?,” kata Hazani dihubungi wartawan.





