KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan parti itu akan menggunakan logo ‘Kinabalu’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan logo Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya Parlimen.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama PH Sabah dan selaras dengan autonomi yang diberikan kepada gabungan itu oleh Perdana Menteri pada Mei lalu.
Beliau berkata, keputusan menggunakan logo sendiri mencerminkan keunikan politik Sabah serta penghormatan terhadap hak autonomi PH Sabah dalam menentukan strategi terbaik menghadapi PRN.
“Rakan komponen seperti PKR dan DAP perlu berbincang lanjut dengan kepimpinan pusat masing-masing, namun UPKO kekal dengan pendirian ini,” katanya selepas merasmikan Seminar Usahawan MADANI di sini, hari ini.
Ewon menambah, tiada kejanggalan bagi UPKO menggunakan logo sendiri memandangkan situasi sama pernah berlaku di Johor pada 2022 apabila PKR menggunakan logo parti sendiri.
Mengenai rundingan kerusi, beliau menjelaskan keputusan akhir hanya akan diumumkan pada hari penamaan calon memandangkan kemungkinan berlaku pertukaran kerusi atau calon saat akhir.
Beliau turut berharap manifesto PH Sabah dapat dilancarkan serentak menjelang PRN akan datang.






