Kajian Di Sweden Dedahkan Lelaki Lebih Banyak Cemarkan Alam Sekitar Berbanding Wanita

Kajian Di Sweden Dedahkan Lelaki Lebih Banyak Cemarkan Alam Sekitar Berbanding Wanita

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

STOCKHOLM, SWEDEN – Golongan lelaki di dunia ini didapati lebih banyak mencemarkan alam sekitar berbanding wanita, demikian menurut satu kajian di negara ini yang dipetik akhbar New York Post baru-baru ini.

Menurut kajian itu, penggunaan bahan api untuk kenderaan yang mana majoriti penggunanya adalah golongan lelaki menjadi penyumbang utama kepada pencemaran alam sekitar.

Kajian berkenaan yang diterbitkan dalam Journal of Industrial Ecology turut mendedahkan bahawa tabiat kepenggunaan lelaki telah menyebabkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 16 peratus (16%) lebih tinggi berbanding wanita.

Perbezaan ketara itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perbelanjaan ke atas minyak petrol dan diesel untuk kereta.

Selain itu, kajian  sama turut melaporkan terdapat sedikit perbezaan bagi jumlah wang yang dibelanjakan oleh lelaki dan wanita bujang di Sweden melibatkan perkara-perkara yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Cara mereka membelanjakan wang amat stereotaip, iaitu wanita lebih banyak berbelanja untuk perhiasan rumah, kesihatan dan pakaian…

“Manakala lelaki banyak berbelanja untuk minyak kereta, makan di luar, alkohol dan rokok,” kata penulis kajian tersebut, Annika Carlsson Kanyama.

Kanyama turut mendedahkan sumber utama yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar bagi kedua-dua golongan lelaki dan wanita adalah daripada aktiviti percutian ataupun melancong.

Dalam pada itu, melalui kajian tersebut juga telah menemui beberapa cara untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar yang boleh dilakukan oleh kedua-dua golongan itu.

Antaranya adalah dengan memakan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding daging atau produk tenusu serta bercuti menggunakan kereta api berbanding pesawat atau kereta yang mana tindakan ini dapat mengurangkan pencemaran sebanyak 40 peratus (40%).