KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan media Sabah dalam satu majlis yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, di sini, malam ini.
Majlis tersebut dihadiri lebih 200 pengamal media termasuk Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Mariah Doksil, Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu, Jimmy Goh, selain ketua-ketua pengarang dan ketua biro pelbagai organisasi media.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Khan Bahadar, serta ketua-ketua jabatan.
Dalam ucapan alu-aluan mewakili Ketua Menteri, Pengarah Media dan Komunikasi di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong, merakamkan penghargaan terhadap komitmen serta dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat melalui pelbagai platform termasuk media kerajaan, arus perdana dan media sosial.
Beliau menegaskan bahawa media memainkan peranan penting sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, termasuk dalam menyampaikan dasar kerajaan serta membawa suara rakyat kepada pihak berkuasa.
“Walaupun peranan media pada hari ini menuntut kepantasan, namun ia tidak harus mengabaikan ketepatan.
“Dalam era lambakan maklumat, media yang efektif adalah media yang menyebarkan berita yang sahih, sekali gus menjadi rujukan utama masyarakat dalam membentuk fakta yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pejabat Media dan Komunikasi akan terus memastikan segala laporan berkaitan Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri disalurkan kepada pihak media dengan cepat dan tepat.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kerjasama antara kerajaan dan media terus diperkukuhkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.






