PUTRAJAYA – Peratus pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor perdagangan pengedaran adalah tinggi pada kadar 99.9 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata statistik itu berdasarkan pemeriksaan 1.088 juta premis di seluruh negara dari 13 Mei 2020 hingga 8 Mac 2022.
“Sejumlah 1,063 kes direkodkan bagi pelbagai kesalahan ketidakpatuhan SOP dan jumlah kompaun yang dikeluarkan pula adalah sebanyak RM5.267 juta sepanjang tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya selain menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengenai fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April nanti, akan memastikan SOP terus dipatuhi oleh pengguna ketika mengunjungi premis perniagaan.
“KPDNHEP menyokong penuh SOP mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam kerana langkah itu masih diperlukan bagi membendung COVID-19 terutama varian Omicron yang mudah merebak.
“KPDNHEP akan memastikan bekalan pelitup muka dan Kit Ujian Kendiri Covid-19 (RTK) sentiasa stabil dan peniaga mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan Kerajaan.
“Begitu juga langkah pencegahan dan pengesanan melalui pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera perlu terus diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka tidak sesak serta tiada perhimpunan orang ramai,” katanya.
Beliau juga menyokong fungsi ‘MYSJTrace’ pada aplikasi MySejahtera perlu terus diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi pengunjung.
“KPDNHEP berharap rakyat terutama komuniti perniagaan dan pengguna juga menyambut baik pengumuman ini dan menyokong kesemua sepuluh SOP Peralihan Ke Endemik.
“Ia agar negara segera bukan sahaja dapat kembali kepada kehidupan dan aktiviti seperti biasa sebelum COVID-19 tetapi dalam norma baharu yang lebih selamat dan berdaya maju,” ujarnya.





