PUTRAJAYA – Hujan berterusan dijangka akan berlaku di negeri Sabah sehingga 10 Mac ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata, perkara ini adalah kerana sistem cuaca tekanan rendah sedang menghampiri negeri tersebut dan dijangka bergerak ke arah barat.
“Keadaan ini akan menyebabkan peningkatan kelembapan dan berpotensi membawa hujan berterusan di Sabah sehingga 10 Mac…
“Sementara itu, MET Malaysia juga mengeluarkan amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) untuk kawasan perkapalan di Laut China Selatan berkuat kuasa pada 8 hingga 11 Mac ini.
“Ramalan tersebut berdasarkan analisis model MET Malaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS),” kata MET Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, hujan dan ribut petir pula dijangka berlaku di kebanyakan tempat di barat Semenanjung pada sebelah petang hingga awal malam.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.





