Tentera Filipina Tawan Pusat Kawalan Militan Daish Di Marawi

Tentera Filipina Tawan Pusat Kawalan Militan Daish Di Marawi

0
SHARE

MARAWI, FILIPINA – Tentera Filipina berjaya menawan pusat kawalan pemberontak yang disokong militan Daish yang menawan bandar ini hampir empat bulan lalu, kata tentera semalam.

Menurut laporan AFP, askar Filipina berdepan pertempuran di kawasan jalanan dan bandar serta melancarkan serangan udara untuk menawan semula Marawi.

Tentera berjaya menawan pusat kawalan militan selepas bertempur sengit kelmarin di sebuah masjid dan satu lagi bangunan lain.

“Kejayaan ini terus melemahkan lagi kumpulan pengganas selepas mereka kehilangan pusat pemerintahan dan kawalan.

“Kami meneruskan operasi memburu militan dan menjangkakan tentangan sengit daripada mereka,” kata panglima tentera Filipina, Eduardo Ano.

Beratus-ratus pemberontak bersama militan Daish menyerbu Marawi dan menawan bandar itu pada 23 Mei lalu yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Lebih 800 militan, anggota pasukan keselamatan dan orang awam terbunuh dalam konflik berkenaan.

Peperangan yang berlanjutan menyebabkan bandar itu musnah dan ratusan ribu penduduk menjadi pelarian.