NADMA Kemas Kini Dasar Pengurusan Bencana Negara

NADMA Kemas Kini Dasar Pengurusan Bencana Negara

0
SHARE
Armizan
Armizan (dua kanan) semasa gimik perasmian STDR3 di Kem Bina Negara Kundasang ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengemaskini Dasar Pengurusan Bencana Negara bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali berkata NADMA kini dalam tindakan menyemak semula Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 yang kali terakhir dikemaskini pada 30 Mac 2012 agar langkah-langkah pengurusan bencana mampu berdepan risiko serta ancaman baharu.

“Turut diteliti Arahan MKN No.19: Penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi menggariskan pengurusan dan prosedur bertindak Pasukan SMART berlandaskan pengurusan antarabangsa terkini dalam operasi mencari serta menyelamat.

“Pada masa sama, NADMA juga dalam proses pelaksanaan sesi libat urus mengkaji keperluan mewujudkan kerangka dasar dan perundangan yang lebih komprehensif dalam pengurusan bencana negara.

“Antara aspek yang dipertimbangkan adalah Penggubalan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara (Dasar DRR Negara), satu dasar baharu yang menjadi dokumen panduan ke arah Disaster Risk Reduction bagi memperkukuh daya tahan, kesedaran dan kesediaan melindungi keselamatan rakyat.

“Langkah-langkah tadbir urus bencana ini bagi memastikan NADMA dapat menjalankan tanggungjawab secara berkesan dengan memastikan tahap kesiapsiagaan relevan dan seiring kesan perubahan iklim masa kini,” katanya semasa merasmikan Pelancaran Minggu Sains dan Teknologi dalam Pengurusan Risiko Bencana dan Daya Tahan (STDR3).

Program tersebut memberi tumpuan implementasi sains dan teknologi dalam pengurangan risiko bencana (DRR) dengan fokus terhadap pihak berkepentingan, agensi tempatan, pembuat keputusan dan golongan rentan yang terdedah kepada pelbagai bahaya.

Objektif STDR3 antaranya melaksanakan aktiviti DRR dipacu komuniti (CLDRR) dengan menyediakan maklumat keselamatan, amaran awal dan meningkatkan pengetahuan pengurusan bencana dengan integrasi teknologi ICT serta kajian kes dari Jepun dan Asia Pasifik.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempertingkat komunikasi risiko kepada komuniti setempat menerusi penggunaan kaedah Disaster Imagination Games (DIG), Sesi RAPID (Resilience Almanac And Preparedness in Disaster) dan medium ICT.

Turut dilancarkan Resilience Living Lab Kundasang untuk pembinaan daya tahan komuniti yang terdedah kepada pelbagai bencana seperti gempa bumi, tanah runtuh, aliran puing dan runtuhan batuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH