IJPAM Wadah Menyatupadukan Agensi Agama Negeri, Persekutuan

IJPAM Wadah Menyatupadukan Agensi Agama Negeri, Persekutuan

0
SHARE
Naim
Na'im (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Perbarisan, Wilayah Persekutuan pada temasya tersebut disaksikan Arifin (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran Sukan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) wadah terbaik menyatupadukan agensi agama peringkat negeri dan persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan semua agensi agama dalam satu temasya sukan seterusnya melahirkan permuafakatan dan kebersamaan.

“Saya yakin bahawa penganjuran temasya sebegini merupakan satu wadah terbaik bagi menyatupadukan kita semua warga agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri, pada masa sama menunjukkan bahawa program serta aktiviti yang mempunyai nilai-nilai permuafakatan dan kebersamaan menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan pada hari ini untuk kita laksanakan khususnya dalam konteks agensi hal ehwal Islam.

“Alhamdulillah, atas semangat perpaduan semua pihak, akhirnya program bertaraf nasional ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama dan sokongan dari pelbagai pihak antaranya Kerajaan Negeri Sabah, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) selain Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional serta MBSB Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup IJPAM Sabah 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Khamis.

Selain itu, beliau turut menyeru kepada semua agensi hal ehwal agama agar terus bersatu dan bekerjasama menggerakkan agenda membangun Malaysia Madani selaras dengan hasrat Perdana Menteri.

“Perdana Menteri sememangnya mempunyai hasrat yang begitu besar kepada agensi hal ehwal Islam khususnya bagi menggerakkan agenda Membangun Malaysia Madani, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya diamanahkan oleh pihak Kerajaan bagi memastikan hasrat Majlis Raja-Raja yang mahu melihat pentadbiran hal ehwal agama di 14 buah negeri di Malaysia dapat diurus dengan selaras dan berkesan.

“Justeru, untuk menjayakan hasrat ini demi agama dan negara, kita semua perlu saling bekerjasama dengan prinsip saling hormat menghormati serta bersatu hati dan pemikiran kerana kita yakin dan percaya bahawa usaha-usaha secara bersepadu, semangat kebersamaan dan saling sokong menyokong amatlah diperlukan bagi memacu pengurusan hal ehwal Islam dalam menjayakan agenda besar agama kita,” ujarnya.

Pada temasya berkenaan, Kontinjen Sabah muncul juara mengalahkan 17 kontinjen lain dengan memenangi empat pingat emas dan dua perak membolehkan mereka membawa pulang trofi pemenang dan trofi kejohanan, tempat kedua disandang oleh Selangor dengan kutipan pingat dua emas tiga perak manakala JAKIM JAWHAR YWM di tempat ketiga melalui dua emas dan satu gangsa yang masing-masing membawa trofi pemenang dan Kontinjen Wilayah Persekutuan pula muncul sebagai pemenang perbarisan sekaligus memenangi wang tunai RM500 berserta trofi.

Turut hadir, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Pengarah JAKIM Sabah, Datuk Norjeli Dais dan Timbalan Yang Di-Pertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH