“TO BE FAIR, TANGKAP DIA DULU” – HAJIJI MINTA SPRM SIASAT TERMASUK...

“TO BE FAIR, TANGKAP DIA DULU” – HAJIJI MINTA SPRM SIASAT TERMASUK PEMBERI RASUAH

0
SHARE

PAPAR: “To be fair, tangkap dia dulu,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mengulas rakaman audio ditularkan oleh portal berita melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini yang didakwa berbincang mengenai rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Hajiji berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara itu termasuk berharap agar pemberi rasuah yang terlibat turut ditangkap dan disiasat.

“Ini kita minta pihak berkuasa menyiasat. Kita akan bagi kerjasama tapi siasat juga yang memberi rasuah itu.

“Pemberi rasuah mempunyai niat tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan. Apabila tidak dapat, inilah keluar jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn Bhd bertrmpat di Stesen Janakuasa Kimanis di Kimanis, di sini, hari ini.

Hajiji turut berkata pihaknya tidak berniat untuk berselindung atau menyembunyikan apa-apa mengenai isu itu.

“Saya tiada apa-apa. Kerajaan memang okay dan masih berjalan dengan baik. Itu cuma tuduhan. Laporlah kepada SPRM. We have nothing to hide,” katanya.

Sebuah portal dalam talian sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN didakwa berbincang rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkenaan rakaman audio tular itu, setakat ini.