TAMPARULI, SABAH – Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima Medan Timur Tentera Darat telah menyempurnakan penyerahan kunci rumah Program Jiwa Murni kepada Veteran Tentera Darat, Staf Sarjan John bin Somudin (Bersara) bertempat di Kampung Balabakan, Jalan Pekan Nabalu, sini.
Projek pembinaan rumah berasaskan konkrit yang berkeluasan 30’ X 30’ (4 Bilik Tidur, 2 Bilik air) dengan kos keseluruhan binaan RM62,000 sumbangan daripada Panglima Tentera Darat, Kerajaan Negeri Sabah, Wakil Rakyat Tempatan dan Tabung Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja.
Pembinaan rumah mengambil selama 80 hari bermula pada 25 Ogos dan siap sepenuhnya pada 13 November 2021 dengan melibatkan seramai 20 anggota Tentera Darat…
Staf Sarjan John bin Somudin (Bersara) 42 Tahun, telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Darat Malaysia selama 21 tahun dan bersara pada 4 Februari 2022.
Beliau telah ditimpa musibah apabila kediaman yang diduduki sebelum ini hangus akibat kebakaran pada 12 April 2021 berpunca dari litar pintas pendawaian eletrik.
“Pembinaan rumah PJM ini membantu meringankan beban yang ditanggung beliau dan ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga. Selain itu, program sebegini memperkasa peningkatan hubungan tentera dengan awam khususnya dengan kerajaan negeri Sabah yang diterjemahkan menerusi Tonggak Ke-5.
“Ini sekaligus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibeliti dan kesiagaan TDM dalam membantu pihak berkuasa awam dan masyarakat secara total,” Mardzuki berkata.
Turut bersama sepanjang program, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Dzulkafli Hj Mustaffa, Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mej Jen Datuk Hj Mohd Halim Khalid, Wakil Pejabat Pegawai Daerah Tuaran dan Ketua Kampung Balabakan.