KOTA KINABALU, SABAH – Program Kesihatan dan Derma Darah ‘Lead With Life’ anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah telah menerima sambutan luar biasa dari penderma darah kali pertama.
Pemimpin inisiatif, Dr Davina Markus Majihi selaku Pengerusi Biro Kesihatan Exco Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat berkata jumlah pendaftaran penderma pertama kali melebihi dari sasaran awal sebanyak 108 peratus.
“Walaupun terdapat beberapa cabaran, 68 peratus daripada penderma yang mendaftar berjaya menderma darah dengan jayanya.
“Kami sangat terharu dengan sokongan yang luar biasa, terutamanya daripada golongan belia, dan sukarelawan wanita yang tampil untuk membuat perubahan sebagai penderma darah kali pertama.
“Kempen ini menunjukkan kekuatan komuniti kita, dan kami amat bersyukur,” katanya.
Namun, beliau mengakui beberapa aspek yang perlu ditambah baik seperti memperkukuh garis panduan pra-derma dan langkah persediaan untuk penderma baharu.
“Setiap kempen memberi kami pelajaran yang berharga, dan kami komited untuk menambah baik proses ini bagi memastikan kelancaran program di masa hadapan,” katanya.
Kecekalan Dr Davina dalam memperkukuhkan budaya derma darah dalam komuniti tetap teguh.
Beliau menekankan keperluan penting untuk lebih ramai penderma dan menggalakkan semua untuk terus menyokong kempen-kempen dan program-program akan datang.
Katanya, program tersebut telah menetapkan penanda aras baharu untuk kempen derma darah pada masa hadapan.