SABAH CARI JALAN MOHON PERUNTUKAN DARI PERSEKUTUAN BINA SEMULA STOR FARMASI TERBAKAR...

SABAH CARI JALAN MOHON PERUNTUKAN DARI PERSEKUTUAN BINA SEMULA STOR FARMASI TERBAKAR DI HOSPITAL PAPAR

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika meninjau stor farmasi Hospital Papar yang terbakar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PAPAR, SABAH – Kerajaan negeri akan mencari jalan memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan semula stor farmasi yang telah musnah akibat kebakaran di Hospital Papar dalam kejadian semalam.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya telah diberi penerangan mengenai punca kejadian menimpa hospital terbabit.

“Tadi kita diberi penerangan dan punca kebakaran masih disiasat oleh pihak bomba. tapi kita juga melawat (hospital) ini bagi melihat keadaan sebenarnya.

“Jadi saya dimaklumkan dari segi ubat-ubatan yang rosak dan sebagainya, kosnya melebihi RM1.3 juta manakala bangunannya (stor farmasi) belum dapat ditentukan (kos).

Kita di pihak kerajaan negeri amat prihatin jadi kita akan cari jalan macam mana kita membantu, minta kerajaan persekutuan supaya membina semula bangunan yang rosak itu.

“Kita berterima kasih kepada pihak bomba dimana semuanya selamat. Hospital baru sedang dibina sekarang dan mudah-mudahan apabila siap, ini hanya sementara. Apa yang penting semua selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau stor farmasi Hospital Papar yang terbakar, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan insiden kebakaran di hospital terbabit dilaporkan bermula pada kira-kira jam 7 malam tadi sebelum 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan BBP Kimanis dikejarkan segera bagi melaksanakan operasi pemadaman.