Gelvia Vanessa Wakil Papar Dinobatkan Juara Unduk Ngadau Kaamatan 2026

Gelvia Vanessa Wakil Papar Dinobatkan Juara Unduk Ngadau Kaamatan 2026

0
SHARE
Gambar: Leslie Isaac Kok…

PENAMPANG: Wakil Papar, Tati Gelvia Vanessa Jenny, 23, dinobatkan sebagai Juara Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, sekali gus mengatasi 52 peserta lain dalam pertandingan berprestij yang menjadi kemuncak sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah tahun ini.

Gelvia berjaya membawa pulang wang tunai kemenangan berjumlah RM15,000, tiara, selempang, trofi dan jambangan bunga.

Hadiah pemenang telah disampaikan oleh isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tusin dan diiringi oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Juliah Salag di Hongkod Koisaan KDCA malam ini.

Kemenangan itu melengkapkan pencapaian cemerlang Gelvia yang sebelum ini mendominasi pentas Sodop Unduk Ngadau Kaamatan 2026 apabila meraih lima gelaran subsidiari, sekali gus meletakkannya sebagai antara peserta paling menyerlah sepanjang pertandingan.

Sebelum dinobatkan sebagai juara, beliau telah meraih lima gelaran subsidiari iaitu Miss Glowing Skin Vaseline, Tati Vozoon Qhazanah, Tati Huhundu Mantra, Miss C.A.N 2026 dan Tati Topiodo Unduk Ngadau Kaamatan 2026.

Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan Gelvia bukan sahaja dari segi penampilan dan personaliti, malah menyerlah dalam aspek intelektual, komunikasi serta penghayatan terhadap budaya dan warisan KDMR yang menjadi teras pertandingan Unduk Ngadau.

Gelvia yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dari Universiti Malaya dan kini sedang menunggu panggilan untuk berkhidmat sebagai guru.

Bagi kemenangan itu, Gelvia membawa pulang hadiah keseluruhan yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000, termasuk wang tunai RM5,000 tajaan Sawit Kinabalu Group, tajaan pendidikan sehingga ke peringkat PhD bernilai RM60,000 daripada Jesselton University College (JUC), gelaran Duta Produk Usahawan IKS Sabah dan hadiah wang tunai RM10,000 tajaan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.

Selain itu, beliau turut menerima pelbagai hadiah lain termasuk gelaran Duta Muzium Sabah, tiket penerbangan ke Kuala Lumpur, pakej saringan kesihatan wanita, baucar hadiah Grab, bekalan beras setahun, pakej rawatan pergigian, hadiah eksklusif daripada Maxis, Pepsi dan Vaseline, produk kosmetik, set penjagaan diri, penginapan hotel, wangian serta pelbagai tajaan daripada penaja rasmi pertandingan.

Sementara itu, kedudukan Naib Juara dimenangi wakil Tuaran, Tati Juje Elor @ Francis, manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Matunggong, Tati Criszelbellkah Lorris.

Tempat keempat pula dimenangi wakil Bandaraya Kota Kinabalu, Tati Liane Melve Grace Lias, diikuti wakil Pagalungan, Tati Kerishine Danil di tempat kelima, wakil Penampang, Tati Gadrette Gregory di tempat keenam dan wakil Sook, Tati Myra Evana Robert di tempat ketujuh.

Pertandingan tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 53 peserta mewakili daerah dan kawasan masing-masing dari seluruh Sabah.