SANDAKAN: Dua insiden kebakaran berasingan di Sandakan dan Tamparuli awal minggu ini memusnahkan sepenuhnya beberapa kediaman pekerja dan rumah separuh kekal, dengan seorang mangsa dilaporkan cedera melecur.
Dalam kejadian pertama di KLK Minat Teguh Batu 23, Sandakan pada Isnin malam, tiga rumah pekerja tidak kekal serta sebuah kereta Proton Saga musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang dilaporkan pada jam 8.55 malam.
Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi sejauh 41 kilometer.
Operasi terkawal pada jam 10 malam dan tamat 10.33 malam.
“Seorang lelaki berusia 68 tahun melecur di tangan dan belakang badan, menerima rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital,” kata jurucakap Jabaatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kampung Panjut Tambalugu, Tamparuli awal pagi Selasa, sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 30×30 kaki turut terbakar 100 peratus.
Panggilan kecemasan diterima jam 2.30 pagi dan pasukan dari BBP Tuaran yang diketuai tiba sembilan minit kemudian. Operasi terkawal pada jam 3.03 pagi dan tamat sepenuhnya 4.28 pagi.
“Dua penghuni rumah sempat menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba. Operasi menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera dan tangki air,” tambahnya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.






