Hajiji Hulur Sumbangan Kepada 91 Keluarga Mangsa Kebakaran di Kg Cempaka Likas

Hajiji Hulur Sumbangan Kepada 91 Keluarga Mangsa Kebakaran di Kg Cempaka Likas

0
SHARE
Hajiji menyantuni penduduk Kampung Cempaka Likas terjejas kebakaran di PPS Dewan Serbaguna Likas di sini, hari ini...

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan selain peralatan dapur memasak kepada 91 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Cempaka Likas baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disalurkan menerusi kerajaan negeri bersama Yayasan Sabah serta Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Likas di sini pagi tadi.

Hajiji ketika ditemui berkata, Kerajaan Sabah amat prihatin kepada mangsa yang terlibat musibah dengan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,300.

“Saya berkesempatan untuk melawat mangsa-mangsa kebakaran Kampung Cempaka Likas ini, Kita amat prihatin Kerajaan peduli rakyat dimana kita memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,300

“RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM300 lagi adalah daripada Yayasan Sabah dan kita juga bagi peralatan untuk memasak daripada YKS selain bantuan bakul makanan daripada Yayasan Sabah.

“Kita pun berusaha memikirkan nasib mangsa-mangsa ini, kita berbincang dengan jabatan kerajaan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mencari jalan bagaimana membantu mereka seterusnya,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Tambah Hajiji, pihaknya turut memahami ketidakselesaan mangsa terjejas khususnya pada bulan puasa ketika ini.

Terdahulu, sebanyak dua buah dewan serbaguna, iaitu Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Serbaguna Damai, telah diaktifkan sebagai PPS yang menempatkan seramai 511 mangsa bencana kebakaran Kampung Cempaka, Likas.

Setakat ini, seramai 200 mangsa daripada 34 keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Likas.

Jumlah itu terdiri daripada 126 dewasa, 68 kanak-kanak dan lima bayi dan satu individu Orang Kurang Upaya (OKU).

Sementara itu, seramai 311 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Damai.

Daripada jumlah ini, seramai 203 orang adalah dewasa, 88 orang kanak-kanak, enam bayi dan 14 warga emas.