KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih yang dikutip Persekutuan di negeri ini adalah hak perlembagaan yang mesti dihormati sepenuhnya.
GRS melalui Mesyuarat Majlis Presiden di Seri Gaya hari ini mengambil maklum alasan penghakiman terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah untuk menerima geran khas 40 peratus bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Gabungan itu berkata perkara tersebut bukan hanya isu perundangan semata-mata, tetapi membabitkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan asas pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam sebuah kenyataan, GRS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan agar tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut, memandangkan mahkamah hanya mengarahkan proses semakan dan rundingan dilakukan mengikut Perlembagaan tanpa menetapkan sebarang jumlah kewangan khusus.
Selepas keputusan mahkamah, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Kementerian Kewangan Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Jabatan Peguam Besar Negeri mengkaji alasan penghakiman dan bersedia untuk rundingan bermakna bersama Kerajaan Persekutuan.
GRS menekankan bahawa terlalu lama rakyat Sabah berhadapan kekurangan asas seperti bekalan elektrik tidak stabil, jalan raya tidak sempurna dan kemudahan kesihatan terhad kerana hasil yang sepatutnya disalurkan tidak diterima sepenuhnya.
Dalam masa sama, GRS memberi jaminan bahawa Sabah akan terus mengekalkan hubungan kerja yang baik dan konstruktif dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri. Kerajaan negeri turut menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah memenuhi 13 daripada 29 tuntutan MA63 setakat ini.
GRS turut menegaskan pendirian untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan setiap hak di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63 direalisasikan sepenuhnya demi lebih 3 juta rakyat Sabah.
Menurut GRS, keputusan mahkamah itu adalah langkah penting untuk memulihkan keadilan kepada rakyat negeri ini, memastikan pembangunan seimbang dan tiada komuniti tercicir akibat kekurangan peruntukan.
GRS menambah bahawa tuntutan Sabah bukanlah suatu permintaan baharu, tetapi hak yang telah termaktub dan perlu dihormati oleh mana-mana kerajaan.
Majlis Presiden GRS yakin bahawa inilah masa terbaik bagi Kerajaan Persekutuan melaksanakan kewajipan moral dan perlembagaannya, demi membina masa depan yang lebih adil untuk rakyat Sabah.






