
PUTATAN, SABAH – Golongan belia dan pelajar di Putatan digalakkan meneroka teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam kerjaya masa hadapan, kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Beliau berkata penguasaan teknologi baharu termasuk AI kini semakin penting memandangkan banyak industri telah beralih kepada automasi, analitik data dan sistem pintar.
“Zaman semakin canggih. Dengan perkembangan industri A.I dan teknologi digital, tuntutan kerjaya masa hadapan berdepan keperluan menguasai kemahiran teknologi,” katanya ketika merasmikan Program Motivasi dan Kerjaya Belia Parlimen P173 Putatan di sebuah hotel di Putatan, hari ini.
Menurutnya, penggunaan AI seperti platform ChatGPT dalam pelbagai sektor menunjukkan perubahan ketara dalam pasaran kerja dan anak muda di Putatan perlu bersedia agar tidak ketinggalan.
Selain itu, Shahelmey turut menekankan pentingnya disiplin belajar serta fokus dalam peperiksaan SPM dan STPM sebagai asas sebelum memasuki institusi pengajian tinggi dan memilih bidang yang relevan dengan kehendak industri.
Kira-kira 300 pelajar STPM dari sekitar Putatan menghadiri program berkenaan yang bertujuan memberi pendedahan mengenai hala tuju pendidikan dan peluang kerjaya masa depan.
Shahelmey berkata penyediaan infrastruktur pendidikan secara kondusif juga turut diberi keutamaan bagi membantu sekolah-sekolah di kawasan Putatan meningkatkan motivasi pelajar dan guru.
Beliau berharap para pelajar yang menamatkan persekolahan dapat kembali menyumbang kepada komuniti Putatan dalam bidang profesional yang diceburi kelak.





