ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas berusia 68 tahun maut dengan kesan terbakar pada tubuh badan, disyaki dibunuh oleh anak kandung sendiri yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Tok Keling di sini pada pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 pagi, melaporkan seorang lelaki mengamuk di kediaman berkenaan.
“Sepasukan polis segera dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan lelaki, 43, di hadapan rumah terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan mayat seorang wanita dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dikenal pasti sebagai ibu kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.
Tambah Siti Nor Salawati, kejadian itu disaksikan oleh anak suspek berusia 14 tahun, juga tinggal di rumah berkenaan.
Dalam keterangannya kepada polis, remaja itu memaklumkan bahawa pertengkaran antara bapanya dan neneknya iaitu mangsa berlaku sekitar jam 7.00 hingga 7.30 pagi.
Menurutnya, saksi terdengar neneknya menjerit meminta tolong dan dia terus keluar dari bilik lalu lari mendapatkan bantuan jiran.
“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku tetapi mendakwa diancam oleh suspek, menyebabkan mereka mengambil keputusan menghubungi polis untuk tindakan segera,” ujarnya.
Siasatan awal mendapati suspek adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental, namun polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat, sementara suspek kini dalam tahanan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.