KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa kerajaan yang sedia ada sekarang ini bukanlah anti Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST), tetapi untuk melaksanakannya semula memerlukan pertimbangan terperinci, termasuk menilai kesesuaian dan memastikan ia tidak kembali membebankan rakyat.
Beliau ketika menjelaskan perkara itu berkata kerajaan tidak akan sekali-kali melaksanakannya atas sebab desakan yang boleh membebankan seluruh rakyat, tanpa mempertimbangkan mengenai penyelarasan subsidi, tatakelola serta aspek berkaitan yang lain.
“Kita mahu beban GST itu dikenakan kepada kelompok khusus, bukannya terhadap seluruh rakyat.
“Ia kerana pendapatan rakyat negara ini belum mencapai tahap gaji progresif. Kita boleh mempertimbangkan semua sistem percukaian termasuk GST, namun kita cuba sedaya upaya menutup kelompongan dan ‘menjejak’ pihak yang sepatutnya bayar cukai,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) bersama Nazri Hamdan di platform X, Facebook dan YouTubenya, malam tadi.
Episod pertama podcast yang akan bersiaran setiap dua minggu itu adalah pendekatan terkini Rafizi dalam memberi pencerahan kepada orang ramai, di samping mengupas isu ekonomi negara.
GST kali pertama dilaksanakan di negara ini pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus. Rejim percukaian itu kemudian digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.

Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan, sistem percukaian baharu akan dipertimbangkan selepas gaji lebih progresif dicapai dan tujuannya bukan sebagai beban tambahan.
Beliau berkata, kerajaan hari ini terbuka untuk melaksanakan yang terbaik, termasuk mempertimbangkan mengenai GST.
“Orang kata kita tidak tetap pendirian, tetapi kita kena tengok secara akademik dan teori ekonomi bagi pembangunan sesebuah negara dan apa bentuk cukai sesuai dengan negara… negara yang ekonomi belum matang, apabila laksanakan GST, semua orang tanggung beban cukai.
“Keadaan berbeza dengan negara maju, mereka ada sistem cukai teratur. Masalah Malaysia (negara) kita berada di tengah, ramai rakyat tidak bayar cukai dan jika dilaksanakan GST, semua perlu bayar,” katanya.
Beliau berkata, meskipun hasil kutipan cukai Malaysia antara yang terendah di Asia, ia bukan parameter untuk negara ini kembali melaksanakan GST.
“Kita perlu meneliti cara mengenakan cukai, adakah ia satu-satunya jalan… saya kata terbuka (mengenai GST), tetapi kita perlu mempertimbangkan setiap sudut sebelum membuat keputusan.
“Yang kedua, dolar dan sen, pulangan cukai SST lebih kurang sama GST.
“Setakat ini kalau dilihat, pendirian kerajaan kita cuba elak cukai dikenakan kepada semua tetapi biarlah terhadap golongan kaya. Kita akan dipandu oleh semua perkara ini,” katanya.
Rafizi berkata, ada banyak kaedah boleh dilakukan untuk memperkukuh ekonomi negara.
“Jadi sekiranya kita melaksanakan GST, pastikan ia kekal sama dan biar kurang daripada 10 peratus kerana tiada menurunkan kadar itu selepas melaksanakannya,” katanya.
Seterusnya, Rafizi menjelaskan, kedudukan dan suasana kewangan perlu dilihat untuk melaksanakan sesuatu.
“Hutang negara telah bertambah pada 2022, meningkat 10 kali ganda. Jadi kita kena potong yang lain, dan negara pada masa depan akan menjadi pengimport petrol jika penggunaan melonjak disebabkan ramai membeli kenderaan menggunakan enjin bahan bakar.
“Ekonomi yang lebih sesuai adalah peralihan kepada kenderaan elektrik,” katanya ketika ditanya mengenai formula menurunkan harga kenderaan yang pernah diutarakannya ketika menjadi pembangkang dan rasionalisasi subsidi petrol.