Tangkap Ikan Guna ‘Speargun’ Empat Lelaki Ditahan Maritim Malaysia

Tangkap Ikan Guna ‘Speargun’ Empat Lelaki Ditahan Maritim Malaysia

0
SHARE
Maritim
'Speargun' yang ditemui pada bot nelayan terbabit ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 4 lelaki di perairan Pulau Mengalum kerana menangkap ikan menggunakan Spearguns (panah besi) lebih kurang pukul 11.00 pagi Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik memaklumkan, bot nelayan tempatan tanpa nombor pendaftaran telah ditahan bot peronda Maritim Malaysia dalam siri Operasi Sejahtera dan Operasi Tiris.

“Juragan bot warga tempatan juga ditahan bersama tiga orang awak-awak warganegara Filipina dan dua daripada awak-awak tersebut tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika diperiksa oleh anggota Maritim Malaysia.

“Selain itu, juragan bot juga gagal mengemukan lesen bot ketika diminta. Bot, juragan dan awak-awak telah mengiringi masuk ke jeti Maritim Negeri Sabah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.

Juragan dan awak-awak disyaki melakukan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.